Port Dickson: Tidak hanya dimonopoli oleh golongan lelaki malah tujuh wanita turut dikesan aktif menjadi penjenayah dan pengedar pelbagai jenis dadah di sekitar daerah ini. Ia susulan penahanan tujuh suspek wanita serta 14 lelaki yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di empat lokasi berasingan di daerah ini. Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dalam operasi khas sejak Isnin lalu. Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan 14 lelaki dan tujuh perempuan di empat lokasi berasingan iaitu di sebuah hotel di Jalan Pantai, Teluk Kemang, kawasan Marina Terrace, Jalan Pantai Batu 7, pangsapuri di kawasan Teluk Kemang dan di sebuah rumah di Jalan Pantai Batu 8, Teluk Kemang di sini. "Hasil serbuan itu, polis berjaya merampas syabu seberat 180.2 gram bernilai RM18,000, heroin seberat 20 gram dan ganja sebera...